POLITIK

PRN: Manifesto Pakatan Harapan perluas manfaat kepada M40 di Negeri Sembilan

SENAWANG – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berjanji memperluaskan manfaat kepada golongan M40 menerusi beberapa inisiatif baharu sekiranya diberi mandat untuk terus mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pendekatan itu diambil kerana golongan M40 turut memainkan peranan penting sebagai penyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurut beliau, kesejahteraan rakyat perlu dinikmati secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang agar setiap lapisan masyarakat dapat merasai manfaat hasil pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dirancang ialah memperluaskan program tuisyen percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 dan M40.

“Kita ada banyak inisiatif. Kalau dahulu kita hanya memberi tumpuan kepada B40, pada PRN kali ini kita membuka peluang kepada golongan M40 menerima manfaat yang sama. Mereka juga mempunyai banyak tanggungan dan memerlukan perhatian.

“Saya yakin apabila kita membuka sedikit ruang ini, manfaatnya akan dirasai oleh lebih ramai rakyat di seluruh Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Jelajah Kekal HARAPAN Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan PH Negeri Sembilan turut komited meneruskan dasar penukaran status tanah kediaman daripada pajakan kepada pegangan bebas mengikut dasar serta syarat yang ditetapkan.

Menurut beliau, dasar itu akan diteruskan bagi memberi nilai tambah kepada pemilik kediaman, sekali gus memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan pentadbiran negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button