BERITA SEMASA

Kelantan buka 100 kertas siasatan perlombongan haram sejak 2024

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan membuka 100 kertas siasatan berhubung kegiatan perlombongan haram di negeri itu bagi tempoh 2024 hingga September lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes telah diselesaikan, manakala baki kes masih dalam siasatan.

Beliau berkata, semua kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001.

“Kejayaan ini hasil 104 operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan oleh agensi kerajaan negeri bersama pasukan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) pada Persidangan Kali Ketiga Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas tindakan penguatkuasaan, Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri mengambil langkah termasuk menyita jentera dan tapak perlombongan serta memusnahkan peralatan yang digunakan untuk kegiatan mendulang secara haram.

Katanya, tindakan turut merangkumi penahanan dan pendakwaan terhadap pihak yang melakukan pencerobohan.

“Kadar denda dan kompaun juga ditingkatkan bagi kesalahan berulang untuk memberi kesan pengajaran.

“Kawalan pencegahan turut diperkukuh menerusi pemasangan papan tanda amaran dan pemantauan udara menggunakan teknologi dron di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button