PM ingatkan jangan ‘tunggang’ kes Nik Elin
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik untuk tidak ‘menunggang’ kes Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Menurut Anwar, adalah tidak wajar untuk mengaitkan kes tersebut sebagai agenda mencabar perundangan syariah di negara ini.
Tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan, bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tidak akan menjejaskan usaha kerajaan memartabatkan syariah.
“Saya akan usahakan dengan semua pihak ada persepsi seolah mencabar syariah kerana orang politik tunggang agama untuk politik. Isu substantifnya bidang kuasa.
“Keputusan kes Mahkamah Persekutuan dan kes Selangor ialah apa negeri boleh buat. Setiap negeri ada percanggahan. Ada usaha selaraskan undang-undang. Keputusan ini tidak menghalang kerajaan dan Majlis Raja-Raja memberi pandangan buat peraturan tingkatkan bidang kuasa mahkamah syariah,” ujarnya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dalam sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini berhubung kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan pimpinan Pas.
Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mendakwa kerajaan terdahulu tidak mengambil tindakan berkaitan kes yang mencabar enakmen syariah.
“Kes di Selangor pada tahun 2021 dan diikuti di Kelantan. Kita tak dengar jawatankuasa ditubuhkan. Menteri undang-undang dulu tak buat apa. Di mana yang kita tentang?,” kata Anwar merujuk kepada kes Iki Putra dan kes Nik Elina Zurina.
“Kes dibawa pada 25 Mei tahun lalu. Siapa perdana menteri (ketika itu)? Doa saja berjela. Pasal apa menteri tak jalankan tugas? Mahkamah benarkan prosiding dalam bulan Sept tahun lalu tapi menteri tak tahu ada kes syariah.
Walaubagaimanapun, Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) yang menjadi menteri undang-undang di bawah kerajaan terdahulu menjelaskan bahawa beliau tidak lagi menjadi menteri ketika kes Nik Elin difailkan.
Semalam, lebih 1,000 orang berkumpul sempena Himpunan Selamatkan Syariah di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya bagi membantah tindakan Nik Elin dan anaknya yang telah mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








