BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

Kerajaan akan perkenal skim kecederaan lindungi pekerja di luar waktu pejabat

KUALA LUMPUR – Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan (Non-Employment Injury Scheme) akan diperkenalkan bagi memastikan pekerja mendapat perlindungan bukan sahaja ketika berada di pejabat, tetapi juga di luar waktu kerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim berkenaan akan meluaskan jaringan keselamatan sosial sejajar dengan realiti semasa yang menuntut perlindungan menyeluruh.

“Kerajaan sedang meluaskan perlindungan kepada mereka yang selama ini berada di luar jaringan keselamatan.

“Insya-Allah pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti kehidupan dan cara kerja masyarakat masa kini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook selepas merasmikan World Social Security Forum 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 berlangsung dengan tema “Membentuk Keselamatan Sosial Untuk Dunia Yang Sedang Berubah”.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perlindungan sosial bukan sekadar sistem birokrasi pemberian faedah, tetapi ia harus dilihat sebagai infrastruktur moral.

“Malah dalam tradisi Islam, Baitulmal diwujudkan bagi memastikan sumber kekayaan digunakan untuk membantu golongan miskin, balu, anak yatim dan warga emas dan legasi itu terus menjadi sumber inspirasi kepada negara.

“Justeru, berpandukan prinsip-prinsip ini, Malaysia sedang membentuk semula sistem perlindungan sosialnya,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button