BERITA SEMASA

PM mahu IPG lahirkan guru berjiwa pendidik, bukan sekadar cemerlang akademik

NILAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Institut Pendidikan Guru (IPG) menjadi peneraju dalam melahirkan guru yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tinggi, malah memiliki nilai kemanusiaan, keimanan serta akhlak yang kukuh bagi membentuk generasi masa depan negara.

Beliau berkata, sistem pendidikan negara tidak boleh hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu melahirkan insan yang mempunyai jati diri dan memahami nilai kemanusiaan.

“Keutamaan kita tentunya untuk meningkatkan mutu pendidikan, tetapi yang lebih penting ialah mendidik mereka (pelajar) menjadi manusia. Terasnya ialah keimanan dan akhlak.

“Ada yang pandai, pintar, memiliki pendidikan tinggi sehingga peringkat PhD, tetapi tidak mempunyai kefahaman tentang kemanusiaan.

“Sebab itu al-Quran mengangkat konsep karamah insaniah atau kemuliaan insan,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar bersama penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Kompleks Pendidikan Nilai, di sini hari ini.

Anwar berkata, warga IPG perlu sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dan tidak mudah berasa selesa dengan pencapaian semasa kerana dunia pendidikan kini berkembang pantas, khususnya seiring kemajuan teknologi digital.

“Budaya cepat berasa selesa bukan budaya yang sihat. Kita mesti sentiasa mempunyai keinginan untuk memperbaiki amal, kerja dan pencapaian. Semua anjakan memerlukan inovasi, pemikiran serta kaedah baharu yang kadangkala lebih mencabar daripada pendekatan lama,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf tinggi memerlukan kemahiran, kerjasama strategik serta pelaburan yang besar bagi memastikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu, Anwar mengakui guru di negara ini secara keseluruhannya telah menjalankan tugas dengan baik, namun masih terdapat ruang yang perlu diperkasakan terutama dalam aspek pembentukan sahsiah pelajar.

Menurutnya, isu disiplin termasuk kes buli di sekolah perlu ditangani secara tegas tanpa sebarang usaha menutup kes demi menjaga imej institusi pendidikan.

“Kalau sebuah sekolah mempunyai 1,000 pelajar dan berlaku satu kes buli, itu bukan kesalahannya. Tetapi yang salah ialah apabila pengetua atau guru besar cuba menutup kes semata-mata untuk menjaga imej sekolah, sedangkan mangsa memerlukan pembelaan,” katanya.

Beliau berkata, IPG mempunyai peranan besar untuk memimpin perubahan dalam sistem pendidikan negara dengan melahirkan guru yang mampu membentuk pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia dan berperikemanusiaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button