BERITA SEMASA

Tiga keutamaan perkukuh keselamatan jalan raya, kurangkan kemalangan

KUALA LUMPUR – Usaha mengurangkan kemalangan jalan raya akan memberi tumpuan kepada peningkatan keselamatan penunggang motosikal, penyepaduan data antara agensi serta pembudayaan amalan pemanduan dan penggunaan jalan raya yang selamat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketiga-tiga pendekatan itu penting bagi memperkukuh pelaksanaan Vision Zero, iaitu usaha melindungi nyawa dan mengelakkan kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya.

“Usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memanfaatkan teknologi pintar, penyelarasan dasar serta kerjasama strategik antara pihak berkaitan.

“Kemajuan sistem pengangkutan tidak boleh diukur melalui pengaplikasian teknologi dan kepantasan perjalanan semata-mata, tetapi juga perlu dinilai terhadap sejauh mana kita mampu melindungi nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas merasmikan Road Safety Congress 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penglibatan pelbagai agensi diperlukan bagi memastikan langkah pencegahan kemalangan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, perkongsian serta penyepaduan data keselamatan jalan raya antara agensi juga penting untuk membantu mengenal pasti risiko, sekali gus membolehkan tindakan bersesuaian diambil bagi melindungi pengguna jalan raya.

Beliau berharap pendekatan yang lebih terselaras, disokong penggunaan teknologi dan komitmen semua pihak, mampu mengurangkan kadar kemalangan serta meningkatkan keselamatan orang ramai.

“Insya-Allah, melalui kerjasama semua pihak, penggunaan teknologi dan tindakan yang lebih terselaras, kita mampu mengurangkan kemalangan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button