Asyraf Wajdi calon BN di Parlimen Gerik – Zahid
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Datuk Salbiah Mohamed untuk mempertahankan kerusi sedia ada.
Justeru, Ahmad Zahid menyeru penduduk Gerik agar menerima Asyraf Wajdi sebagai calon mereka sambil menyifatkan beliau mempunyai potensi besar untuk membawa pembangunan dan perubahan positif kepada kawasan tersebut.
“Meskipun terdapat beberapa tokoh tempatan yang layak diketengahkan, namun sekiranya Asyraf Wajdi memenangi kerusi Parlimen dan dilantik sebagai menteri, beliau akan memastikan peluang pekerjaan di kementerian diberikan kepada penduduk Gerik.
“Saya juga berjanji akan terus membantu setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan ini dalam pelbagai aspek sebagai tanda sokongan berterusan kepada rakyat setempat,” katanya ketika berucap pada Program Pemukiman Kepimpinan UMNO Bahagian Gerik di Pusat ILMU Janda Baik, Pahang semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa Salbiah akan terus kekal berkhidmat di kawasan Temenggor, manakala calon bagi satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dalam proses pemilihan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika diminta mengulas pencalonannya berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan kepemimpinan parti dan akan akur dengan apa jua arahan.
“Saya ini orang parti dan akan patuh sahaja arahan kepimpinan untuk bertanding di mana sahaja.
“Niat saya hanyalah untuk membantu rakyat di mana pun kawasan yang diamanahkan oleh parti,” kata beliau memetik laporan BH Online.
Tambahnya, sejak tiga tahun lalu, ketika diamanahkan menjadi Majlis Kerja Tertinggi UMNO Angkat kepada Parlimen Gerik, beliau sentiasa turun padang membantu rakyat mengikut kemampuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








