BERITA SEMASA

Damiya dipercayai tercekik makanan, bapa temui anak tidak sedarkan diri di koridor sekolah

DENGKIL – Seorang bapa tidak menyangka anak perempuannya, Derma Damiya Nur Mikayla, 7, yang dipercayai tercekik makanan di sekolah, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dia tiba di lokasi kejadian, semalam.

Bapa mangsa, Mior Syahrizal Mior Zakaria, 48, berkata, dia bergegas ke sekolah selepas dimaklumkan ahli keluarga mengenai keadaan anak bongsunya yang mengalami kesukaran bernafas.

Menurutnya, Damiya sudah terbaring dalam keadaan tidak sedarkan di koridor tingkat dua bangunan sekolah ketika di tiba

Katanya, beberapa guru berada di kawasan tersebut ketika dia tiba, namun dia segera mendapatkan anaknya dan cuba memberikan bantuan kecemasan.

“Saya sampai di sekolah dan tengok anak saya sudah terbaring di koridor. Saya cuba membantu dan melakukan CPR, tetapi dia sudah tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Ambulans pula tiba kira-kira 15 minit setelah saya sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, di sini, hari ini.

Mior Syahrizal berkata, Damiya selepas itu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya diberitahu anak berkemungkinan mengalami masalah pernafasan akibat makanan yang tersekat.

“Doktor menyatakan kemungkinan makanan berkenaan ialah pisang atau ayam, namun tidak dapat memastikan jenis makanan yang dipercayai menjadi punca kejadian itu,” katanya.

Jenazah Damiya disolatkan di Masjid Jamiatus Solehah, Pekan Dengkil selepas solat Zuhur hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil kira-kira jam 3 petang.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan Tahun Satu di sebuah sekolah berhampiran Dengkil meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada pukul 7.30 malam.

Mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button