Kanak-kanak 3 tahun maut dalam kemalangan di Kuala Pilah
KUALA PILAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta dipandu bapanya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta lain di Kilometer 3, Jalan Kuala Pilah-Melang berhadapan sebuah stesen minyak, di sini semalam.
Kejadian berlaku pada pukul 3.35 petang ketika keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Bezza.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki bersama isteri, anak perempuan berusia tiga tahun dan anak saudara perempuannya dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan memasuki laluan kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu kereta sekeluarga cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi gagal, lalu melanggar kereta berkenaan.
“Kanak-kanak berusia tiga tahun itu yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
“Bapa, ibu serta sepupu perempuannya termasuk pemandu kereta kedua, masih menerima rawatan di hospital yang sama,” kata beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















