Remaja maut aksi ‘wheelie’, motosikal hilang kawalan rempuh rakan
SETIU – Aksi berbahaya seorang remaja lelaki yang melakukan ‘wheelie’ berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh rakan sekolah dalam kejadian di Kampung Pelong, Sungai Tong, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, mangsa berusia 15 tahun yang juga pelajar tingkatan tiga disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan sekolah yang masing-masing berusia 14 dan 15 tahun sedang menunggang motosikal secara beriringan dari sekolah berhampiran.
“Mereka dipercayai dalam perjalanan menuju ke simpang empat Kampung Sungai Pelong-Kampung Sungai Tong.
“Bagaimanapun, mangsa dikatakan melakukan aksi berbahaya dengan menunggang motosikal secara ‘wheelie’,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang motosikal Yamaha Y16ZR yang dinaiki rakannya.
Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa terjatuh ke atas jalan raya.
“Sebuah lagi motosikal yang ditunggang rakan mereka berusia 14 tahun yang berada di belakang gagal mengelak lalu terlanggar kepala mangsa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















