BERITA SEMASA

Zahid rakam penghargaan kepada Ayob Khan sempena persaraan

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay atas segala khidmat bakti serta pengorbanannya sepanjang hampir 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Zahid berkata, jasa dan sumbangan Ayob Khan kepada PDRM serta negara amat dihargai sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan atas segala khidmat bakti dan pengorbanan Tan Sri sepanjang hampir 35 tahun mencurahkan jasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.

“Saya mendoakan semoga Tan Sri sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta terus diberikan ruang untuk menyumbang pengalaman dan kebijaksanaan kepada negara walau dalam apa jua peranan selepas ini,” katanya.

Zahid turut mendoakan agar Ayob Khan menikmati fasa baharu kehidupan bersama keluarga tercinta.

“Selamat melangkah ke fasa baharu kehidupan bersama keluarga tercinta. Saya mendoakan semoga segala jasa dan pengorbanan Tan Sri mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya di sisi Allah SWT,” katanya.

Ayob Khan, 60, secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) hari ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam PDRM.

Beliau menyertai pasukan polis pada 1993 dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN berkuat kuasa 23 Jun 2023.

Beliau juga dikenali kerana mengetuai pelbagai operasi membanteras keganasan dan jenayah terancang ketika menerajui Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button