Singgah di kedai buku ketika lawatan kerja, Ahmad Zahid galak budaya membaca
WELLINGTON – Walaupun sibuk dengan lawatan kerja ke New Zealand, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempat meluangkan masa untuk mengunjungi Unity Book Store, sebuah kedai buku terkenal di pusat bandar Wellington.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, Ahmad Zahid menyifatkan buku sebagai ‘jendela ilmu’ yang mampu meluaskan wawasan merentasi sempadan geografi dan budaya.
“Meskipun dengan jadual yang padat, saya percaya ilmu tetap perlu dicari, dibaca dan dihargai,” katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menyatakan setiap helaian buku mengandungi pemikiran, sejarah, pandangan dan harapan manusia dari pelbagai latar belakang.
“Sebab itu saya sentiasa terinspirasi untuk mencari dan meneroka sudut-sudut dunia melalui pembacaan…tidak kira di mana saya berada. Bagaimana pula dengan anda? Buku apa yang anda baca hari ini?” tulisnya.
Lawatan singkat ke Unity Book Store itu berlangsung pada hari keempat lawatan rasmi beliau ke New Zealand.
Selain itu, Ahmad Zahid juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertanian, Perhutanan, Perdagangan dan Pelaburan New Zealand, Todd McClay serta mengunjungi Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan (Beehive Bunker) di Wellington.
Ahmad Zahid dijadualkan menamatkan lawatan kerjanya dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








