BERITA SEMASAPMX

Rakyat sudah matang, tidak wajar silap kibarkan Jalur Gemilang – PM

KUALA LUMPUR – Tahap kematangan rakyat Malaysia ketika ini seharusnya membolehkan mereka memahami cara mengibarkan bendera negara dengan betul tanpa mencetuskan sebarang kontroversi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengibaran Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan perlu dilakukan dengan cara yang betul dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Sepatutnya pada tahap ini, (seluruh rakyat) sudah matang dan patut tahu kedudukan bendera supaya tidak lagi menjadi kontroversi yang tidak berkesudahan.

“Jadi saya menyeru, pertamanya kibarkan Jalur Gemilang dan keduanya pastikan ia dikibarkan dengan cara yang betul, dan tidak salah dari segi kedudukan dan peraturannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk kelulusan di Dewan Negara hari ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa insiden melibatkan kesilapan dalam pemasangan dan penggunaan Jalur Gemilang mencetuskan kontroversi, termasuk kejadian terbaharu di sebuah premis perniagaan di Pulau Pinang.

Dalam masa yang sama, Anwar turut menekankan bahawa Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, sebaliknya lambang kemuliaan dan kemegahan negara yang wajar dihormati oleh setiap rakyat Malaysia.

Terdahulu, Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu telah meluluskan usul RMK13 melalui undian suara tanpa sebarang pindaan selepas ia dibentangkan oleh Anwar pada 31 Julai.

Usul tersebut dibahaskan selama lapan hari bermula 4 Ogos, melibatkan penyertaan 153 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button