
PRN Johor: Pengundi India diseru nilai rekod PH, bukan retorik politik
JOHOR BAHRU – Masyarakat India di Johor diseru agar membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi dan hala tuju masa depan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bukannya dipengaruhi retorik politik yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), A Kumaresan berkata, MIC tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk mengangkat diri sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan masyarakat India, susulan pendirian parti itu yang disifatkan tidak konsisten berhubung kerjasama politik.
“MIC hari ini tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk mendakwa mereka merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan masyarakat India.
“Sikap parti tersebut yang tidak konsisten apabila pada satu ketika mengumumkan hasrat untuk meninggalkan Barisan Nasional dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional, sebelum membuat pusingan U dan kembali menyokong BN, jelas menunjukkan bahawa percaturan politik mereka lebih mengutamakan kelangsungan parti daripada kepentingan masyarakat India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih mengecewakan katanya, MIC sanggup mempertimbangkan kerjasama dengan PN semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan kedudukan mereka dalam BN.
Katanya, ini membuktikan bahawa soal prinsip dan mandat rakyat boleh diketepikan demi kepentingan politik.
“Hakikatnya, masyarakat India telah mula menarik sokongan daripada MIC sejak Pilihan Raya Umum 2008.
“Pengundi semakin sedar bahawa politik berasaskan sentimen semata-mata tidak lagi memadai. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang mampu membawa dasar, peluang dan penyelesaian kepada isu sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Sejak kempen PRN Johor bermula, MIC dilihat lebih menumpukan serangan terhadap PH daripada menjelaskan apakah tawaran baharu yang mampu mereka berikan kepada masyarakat India.
“Mendakwa kononnya hanya MIC memperjuangkan masyarakat India adalah kenyataan yang tidak berasaskan realiti. Di bawah Kerajaan MADANI, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkasakan masyarakat India melalui bidang pendidikan, pembangunan modal insan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan dan kebajikan,” katanya.
Katanya, pendekatan PH ialah memperjuangkan semua rakyat tanpa mengira kaum, sambil memastikan tiada komuniti yang dipinggirkan.
“Saya menyeru pengundi India di Johor supaya menilai berdasarkan rekod prestasi, kestabilan politik dan kemampuan sesebuah gabungan untuk mentadbir negeri serta negara.
“Masa depan masyarakat India tidak boleh ditentukan oleh parti yang sering mengubah pendirian mengikut kepentingan politik semasa.
“Pada 11 Julai nanti, marilah kita bersama-sama memberikan mandat kepada Pakatan Harapan demi sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan benar-benar bekerja untuk seluruh rakyat Johor,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















