Fadhlina ketuai 1,328 penerima darjah kebesaran Melaka
MELAKA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Fadhlina dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri, seperti dilaporkan BH Online.
Turut menerima DGSM ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris; Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream PETRONAS, Datuk Seri Sazali Hamzah serta Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin turut menerima darjah berkenaan.
Dalam pada itu, seramai 56 individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Antara penerima ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut yang juga Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Seramai 14 penerima pula menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Timbalan Speaker Sabah, Datuk Al Hambra Juhar; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suria Kumar Durairaj Johnson Paul serta Panglima Divisyen Ketiga Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar.
Bagi Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, seramai 189 individu menerima anugerah berkenaan.
Antara penerimanya ialah Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima, Azhari Muhiddin; penyanyi kelahiran Merlimau, Siti Roziana Zain atau Ziana Zain serta Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








