LUAR NEGARA

Serangan udara Israel di Gaza ragut dua nyawa, tujuh cedera

GAZA – Sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam dua serangan udara Israel di sini, hari ini.

Serangan pertama menyasarkan sebuah bangunan di Zawayda, Gaza tengah, selepas tentera Israel mengarahkan pemilik premis berkenaan meninggalkan kawasan itu, menurut penduduk tempatan.

Serpihan bangunan dan pecahan peluru yang bertaburan sehingga puluhan meter dari lokasi kejadian menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang cedera.

Mangsa kanak-kanak, Mohammad Abdel-Salam Taha, 4, kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Serangan kedua dilaporkan berlaku di kem pelarian Nuseirat yang terletak berhampiran, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Tentera Israel berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua serangan itu.

Seorang penduduk, Abu Ahmed, yang kehilangan tempat tinggal dan berlindung berhampiran bangunan berkenaan berkata, keadaan di Gaza masih belum kembali aman.

“Tiada gencatan senjata. Kami mahukan penyelesaian dan mahu hidup dalam keamanan,” katanya.

Gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dan berkuat kuasa pada Oktober 2025 berjaya menghentikan pertempuran berskala besar di Gaza, namun serangan tentera Israel masih berterusan atas alasan menghalang serangan Hamas dan kumpulan bersenjata lain.

Menurut pegawai kesihatan Gaza, lebih 1,280 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa, manakala tentera Israel melaporkan empat anggotanya terbunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button