Niat bantu rakan bertukar tragedi, lelaki maut dirempuh kereta
GERIK – Niat seorang lelaki membantu rakannya yang kehabisan minyak bertukar tragedi apabila maut dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kilometer 2.6, Lebuhraya Timur-Barat, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang ketika mangsa datang membantu rakannya yang kehabisan minyak bagi sebuah kereta Proton Saga.
“Mangsa tiba di lokasi dengan menunggang motosikal untuk menghantar minyak.
“Ketika mengisi minyak ke dalam tangki kereta rakan di bahu kanan jalan, dia dirempuh sebuah kereta putih yang tidak dikenal pasti dari arah Jeli ke Gerik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.50 malam.
Katanya, pemandu Proton Saga berusia 21 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 05-7912222,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






