JENAYAH & MAHKAMAH

Dikejar 50km, polis tahan dua lelaki positif syabu

JOHOR BAHRU – Cubaan dua lelaki meloloskan diri daripada pemeriksaan polis gagal apabila mereka ditahan selepas dikejar sejauh kira-kira 50 kilometer di Kota Tinggi, dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.35 tengah malam apabila anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, mengarahkan sebuah Proton Wira dinaiki kedua-dua suspek berusia 33 dan 44 tahun supaya berhenti di Jalan Tun Sri Lanang.

“Bagaimanapun, suspek gagal mematuhi arahan polis dan memecut serta memandu secara berbahaya.

“Suspek dikejar dari Jalan Tun Sri Lanang, Bandar Kota Tinggi menghala ke Ulu Tiram sebelum berakhir di Kilometer 31.5 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran lampu isyarat Taman Sri Saujana, Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan dadah jenis syabu manakala semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan serta dikehendaki bagi kesalahan berkaitan dadah.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua lelaki itu juga mendapati mereka positif methamphetamine.

“Dua suspek itu direman hingga 15 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular di aplikasi Threads video memaparkan sepasukan anggota polis berjaya menahan beberapa individu di dalam sebuah kereta yang tersekat dalam kesesakan jalan raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button