JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah syarikat antara dua individu ditahan bantu siasatan rampasan 1.16 tan ketamin

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua individu termasuk pengarah syarikat pemilik asal kapal tangki MT Global 168 bagi membantu siasatan berhubung rampasan 1.16 tan ketamin oleh pihak berkuasa Indonesia, minggu lalu.

Seorang lagi individu yang ditahan ialah ejen atau broker yang menguruskan penjualan kapal berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati, kapal itu dibeli pada April lalu sebelum dijual semula selepas menjalani kerja-kerja baik pulih bagi mendapatkan keuntungan.

Katanya, kapal MT Global 168 itu kemudian dijual kepada Golden Dolphin Co. Ltd yang beralamat di Yangon, Myanmar menerusi ejen atau broker pada 28 Jun lalu.

“Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 40 dan 44 tahun direman selama tujuh hari bermula 26 Oktober hingga 1 November ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, polis turut mengenal pasti tiga individu lain yang dipercayai masing-masing warga Singapura, Taiwan dan Myanmar untuk dikesan bagi membantu siasatan.

Hussein berkata, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi memastikan setiap petunjuk diteliti, selain mengenal pasti semua pihak yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan bukti yang diperoleh serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia serta agensi penguatkuasaan berkaitan, khususnya dalam perkongsian maklumat risikan, pengesanan individu yang disyaki terlibat dan tindakan susulan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, JSJN kekal komited dalam usaha memerangi kegiatan pengedaran dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button