BERITA SEMASA

Kenderaan persendirian guna identiti Bomba bukan kenderaan rasmi – JBPM Kedah

ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan sebuah kenderaan persendirian yang tular di media sosial kerana menggunakan tulisan ‘Bomba’ serta dilengkapi lampu amaran khas bukan kenderaan rasmi jabatan itu.

JBPM Kedah memaklumkan, kenderaan berkenaan juga tidak tersenarai sebagai kenderaan rasmi mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.

Menurutnya, pihak jabatan sedang mengambil tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“JBPM Negeri Kedah memandang serius sebarang penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

JBPM Kedah turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan orang ramai yang menyalurkan maklumat berkaitan isu berkenaan.

“Kerjasama masyarakat penting bagi memastikan maklumat yang disebarkan tepat dan sahih, selain memelihara integriti serta profesionalisme jabatan,” katanya lagi.

Sebelum itu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai anggota bomba menggunakan sebuah kereta persendirian berlogo JBPM sebelum memarahi orang awam kerana tidak memberikan laluan kepada kenderaannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button