Langit biru kembali hiasi KL, tiada lagi IPU tidak sihat
KUALA LUMPUR – Langit biru yang kembali menghiasi ibu negara dengan latar bangunan pencakar langit mencuri perhatian pengguna media sosial, seiring kualiti udara yang semakin baik apabila tiada kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pagi ini.
Gambar dan video pemandangan sekitar Kuala Lumpur itu dimuat naik pengguna media sosial dari tingkap pejabat yang terletak dalam bangunan tinggi dan mereka yang mula meluangkan masa beriadah di taman-taman awam.
“Alhamdulillah dah takda ‘filter’,” kata matjafra.
“Cantiknya….. Allah tarik kejap je keindahan bumi Malaysia.. and how all of us miss it so much.Now its back.. the Malaysia we know,” katanya shasha_haner.“Kenapa rasa langit KL macam extra clear? Atau kita lebih menghargai setelah lama tiada,” kata shahrvl.
Sementara itu, berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 43 stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU sederhana setakat pukul 7.50 pagi, manakala 25 stesen lagi berada pada tahap baik.
Bacaan sederhana direkodkan di Johor, Sarawak, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah, Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Mengikut kategori IPU, bacaan sifar hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan terus memantau perkembangan kualiti udara kerana keadaannya boleh berubah mengikut lokasi dan faktor persekitaran.
Malaysia mula dilanda jerebu sejak Ogos lalu kesan daripada kebakaran hutan di Indonesia terutama Kalimantan dan Sumatera.
Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Langkawi, Kedah serta Pulau Tioman, Pahang sehingga pukul 9 pagi ini.
Cuaca sama turut dijangka melanda beberapa kawasan di Sarawak, termasuk Kuching dan bahagian Samarahan membabitkan Samarahan, Asajaya serta Sebuyau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








