BERITA SEMASA

329,414 guru selesai terima latihan AI – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Seramai 329,414 guru telah menerima latihan kecerdasan buatan (AI) dengan baki daripada jumlah itu akan dilatih dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat, hari ini.

“Latihan AI akan diteruskan sehingga semua guru selesai (menjalani latihan).

“Dalam tempoh singkat, semua guru akan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Nazri bertanyakan mengenai jumlah serta peratusan guru yang telah menerima latihan literasi AI sehingga 2024, selain sasaran kementerian bagi tahap kecekapan minimum AI dalam kalangan semua guru sebelum penggunaan teknologi itu diperluaskan ke semua sekolah.

Fadhlina seterusnya menjelaskan, persediaan guru adalah penting bagi memastikan tiada murid yang tercicir.

Guru sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta guru subjek lain telah didedahkan dengan AI melalui pelbagai saluran, sama ada khusus dalam bidang masing-masing mahupun secara umum.

Beliau kemudiannya menjelaskan, platform latihan yang digunakan juga perlu terkawal.

“Sebab itu platform yang kita gunakan ialah DELIMa 3.0 (Digital Educational Learning Initiative Malaysia), yang digunakan oleh guru dan murid, supaya ia menjadi platform terkawal dan aspek etika dapat dipastikan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button