BERITA SEMASA

Dasar wajibkan pendidikan menengah akan digubal – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah akan digubal bagi mengatasi isu berkaitan kehadiran dan keciciran pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu keciciran ini sekiranya dapat diatasi memberi kesan dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Ini antara langkah yang dapat kita laksanakan sebaik mungkin bagi mengatasi isu berkait rapat dengan kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara,” kata Fadhlina.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail.

Fadhlina menambah, dasar berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Pengenalan dasar baharu ini turut bertujuan mengatasi isu ketidakhadiran pelajar pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang.

“Beri kita masa sedikit untuk buat ‘conclusion’ (rumusan) berkaitan kehadiran (calon SPM 2024) sehingga kertas terakhir, insya Allah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button