Wanita bukan sekadar ‘tukang kempen’, PKR perlu sedia hadapi PRU – Fadhlina
MELAKA – Wanita PKR tidak seharusnya hanya dilihat sebagai jentera kempen ketika pilihan raya, sebaliknya perlu diberikan ruang lebih besar dalam proses membuat keputusan dan kepimpinan parti.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, wanita mempunyai kekuatan tersendiri dalam mendekati masyarakat termasuk menyelami kehidupan rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.
Menurutnya, peranan wanita dalam parti perlu dilihat lebih luas kerana mereka bukan sahaja mampu menggerakkan kempen, malah mempunyai keupayaan menyampaikan mesej parti dan kerajaan secara berkesan kepada rakyat.
“Wanita bukan sekadar tukang kempen. Kita mempunyai kemampuan untuk mendekati rakyat sehingga ke ruang dapur,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan seluruh anggota PKR supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan tidak menunggu sehingga Parlimen dibubarkan.
Katanya, kekuatan parti bergantung kepada kesetiaan serta kerja keras anggota akar umbi yang terus turun padang, mengetuk pintu rumah rakyat dan menggerakkan jentera parti dalam apa jua keadaan.
Menurutnya, pengalaman lalu membuktikan perjuangan parti tidak sentiasa mudah dan anggota akar umbi perlu kekal teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran.
“Reformasi tidak selesai hanya kerana Anwar Ibrahim sudah menjadi Perdana Menteri,” katanya lagi.
Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat perlu dipertahankan bagi memastikan agenda perubahan institusi dan ekonomi dapat diteruskan sehingga mencapai matlamatnya.
Sehubungan itu, Fadhlina mengingatkan pihak lawan supaya tidak terlalu awal membuat persiapan untuk mengambil alih Putrajaya kerana PKR masih mempunyai tanggungjawab besar untuk meneruskan agenda reformasi.
Beliau turut menyeru anggota parti supaya berani membuat keputusan berdasarkan prinsip dan kepentingan rakyat, bukannya semata-mata mengejar populariti.
Katanya, keberanian untuk mempertahankan keputusan yang betul penting bagi memastikan kelangsungan perjuangan PKR serta agenda reformasi di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








