Isu gred hakiki guru besar dalam perhatian serius KPM – Fadhlina
KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu gred hakiki guru besar yang dibangkitkan oleh warga pendidik, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurutnya, perkara itu berada dalam perhatian serius kementerian dan usaha sedang dilakukan bagi mencari penyelesaian terbaik demi menjaga kebajikan golongan pentadbir sekolah rendah.
“Saya kongsikan kepada semua, isu-isu berbangkit termasuk yang berkait dengan gred hakiki guru besar sememangnya dalam perhatian kementerian. Ia sedang ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina turut menekankan kepentingan reformasi sekolah yang sedang dilaksanakan ketika ini sambil menyeru agar para guru besar memainkan peranan dalam memastikan agenda tersebut direalisasikan demi manfaat murid, warga pendidik dan masyarakat secara keseluruhan.
“Peranan PGBM dalam sistem pendidikan negara mesti terus diperkasakan termasuk membantu meningkatkan profesionalisme dan kepimpinan guru besar di seluruh negara. Membina hubungan baik dan kepercayaan tinggi dalam sistem pendidikan amat penting,” katanya lagi.
Menurut beliau, KPM akan meneliti setiap perkara yang dibangkitkan oleh PGBM bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Saya berhasrat untuk terus menyokong semua program dan aktiviti PGBM termasuk menyalurkan sumbangan kewangan bagi tujuan pelaksanaannya,” tambah beliau sambil menjemput pimpinan PGBM hadir ke pejabatnya bagi perbincangan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








