Kadar Budi MADANI kekal RM200 setakat ini
PETALING JAYA – Kerajaan tidak menolak kesediaan untuk menaikkan kadar bantuan Budi MADANI yang kini berjumlah RM200, pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kadar yang ditetapkan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan berdasarkan kajian dan libat urus dengan pelbagai pihak.
Beliau berkata, buat masa ini kadar bantuan bagi menampung penyasaran subsidi itu kekal.
“Buat masa sekarang jumlah ini adalah kekal sebanyak RM200. Kementerian Kewangan telah mengadakan kajian dan libat urus dengan banyak pihak dan merasakan jumlah ini adalah mencukupi,” katanya memetik BH Online.
Beliau berkata demikian apabila ditanya ada sesetengah pihak yang mengatakan bantuan sebanyak RM200 itu tidak memadai dengan kenaikan harga barang.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan mengenakan had dan kuota dalam pengisian diesel membabitkan penggunaan ‘fleet card’ untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Hui Ying berkata, had yang ditetapkan berdasarkan kapasiti liter dan bukannya jumlah.
“Terdapat had (pengisian) dari segi liter dan bukannya jumlah, tetapi saya fikir kita perlu tunggu pengumuman daripada menteri kewangan II.
“(Ketika ini) kita masih belum menetapkan berapa hadnya (pengisian),” katanya.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula semalam, dengan harga permulaan diesel di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








