BERITA SEMASA

Wanita tulis kalimah Allah, tanda salib pada panel elektrik ditahan

KAJANG – Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dengan menulis kalimah Allah dan tanda salib menggunakan cat merah pada sebuah kotak panel kawalan elektrik di Taman Sutera, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asistan Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 2.15 petang tadi.

Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada pukul 12.16 tengah hari semalam berhubung penularan rakaman video yang memaparkan perbuatan wanita berkenaan di media sosial.

“Susulan laporan tersebut, polis berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

“Turut dirampas beberapa barangan termasuk cat berwarna merah dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk mendapatkan keterangan saksi serta meneliti rakaman video yang tular.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan dengan niat sengaja melukakan perasaan agama seseorang, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 bagi membantu siasatan.

Naazron menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Terdahulu, rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita disyaki melukis kalimah Allah dan tanda salib menggunakan cat merah pada kotak panel kawalan elektrik di tepi jalan di Taman Sutera, Kajang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button