JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan lelaki disyaki rosakkan bahan kempen

SEREMBAN – Seorang lelaki menjadi individu pertama di negeri ini ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan khianat terhadap bahan kempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek ditahan kerana disyaki merosakkan bendera Pakatan Harapan (PH) di tepi jalan dekat Jambatan Mengkan, Kuala Klawang.

“Malam tadi, sepasukan anggota polis menahan seorang lelaki susulan laporan polis diterima pada 19 Julai lalu berkaitan kejadian bendera parti dirosakkan dan dibuang ke dalam longkang.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, empat laporan polis diterima semalam dan dua kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Secara keseluruhannya, sepanjang tempoh dari hari penamaan calon sehingga semalam, kami menerima tujuh laporan polis dan membuka empat kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button