Arul Kumar percaya kematangan pengundi Nilai
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, J. Arul Kumar yakin pengundi kawasan tersebut sudah matang untuk membuat pilihan yang bijak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-19 nanti.
Beliau berkata, isu berasaskan kaum kekal sebagai cabaran terbesar dalam pilihan raya kali ini, namun percaya pengundi akan menilai PH berdasarkan rekod pentadbirannya, bukan faktor etnik.
Beliau turut berkata, rekod perkhidmatannya wajar menjadi pertimbangan untuk diberikan satu lagi penggal, dengan menyenaraikan penambahbaikan infrastruktur, hubungan jalan raya dan mitigasi banjir sebagai antara pencapaian terbesar sepanjang tiga penggal berkhidmat.
Antara projek dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem perparitan di pekan Nilai, naik taraf kolam takungan bernilai RM3.9 juta serta projek mitigasi banjir Sungai Batang Labu bagi menangani masalah banjir berpanjangan di kawasan berkenaan.
“Kita telah bawa pembangunan kepada Nilai, Seremban dan seluruh Negeri Sembilan. Prestasi negeri lebih baik berbanding pentadbiran BN sebelum ini, sama ada dari segi kutipan hasil, rizab tunai, inisiatif untuk rakyat, pelaburan mahupun peluang pekerjaan,” katanya.
Arul, yang menyandang kerusi DUN tersebut sejak 2013, mempertahankan kerusi itu pada PRN 2023 dengan majoriti 10,889 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang Perikatan Nasional (PN) ketika PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding sebagai sekutu.
Bagaimanapun, PRN kali ini berbeza apabila BN bekerjasama dengan PN diterajui PAS, dengan PH bertanding di semua 36 DUN secara solo
Perubahan itu sekaligus menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Arul berdepan calon BN, Lai Chien Kong, V Saravan Kumar (BERSATU), Zamani Ibrahim (BERJASA) dan calon bebas, Omar Isa.
DUN Nilai merupakan kerusi campuran dengan kaum Melayu membentuk 46.4 peratus daripada keseluruhan pengundi, diikuti Cina (30 peratus) dan India (20.8 peratus).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















