POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Marzuki dedah kronologi ‘disingkir’ daripada PN

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mendedahkan kronologi terperinci berhubung punca BERSATU memutuskan untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Marzuki, ketegangan tercetus dalam mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN pada 12 Julai lalu, apabila wakil BERSATU bertanyakan mengenai pendirian PAS berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi PRN Negeri Sembilan.

“Wakil PAS jawab ya. Wakil BERSATU kemudiannya menyatakan hasrat untuk mempertahankan dua kerusi incumbent BERSATU iaitu Labu dan Gemas atas logo PN.

“Jika ada rundingan dengan BN, kerusi-kerusi lain boleh dirunding. Wakil BERSATU kemudiannya meminta untuk mendapatkan mandat parti BERSATU berkenaan kerjasama dengan BN kerana ini perkara dasar.

“Mesyuarat ditangguhkan dan dijadualkan disambung semula pada keesokannya 13 Julai 2026,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya.

Beliau berkata, pada 13 Julai, empat Ahli Parlimen BERSATU daripada kem yang dikenali sebagai ‘RESET’ telah mengemukakan surat kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mempersoalkan status Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, dengan mendakwa ia tidak lagi memenuhi syarat korum mesyuarat.

“Naib Presiden BERSATU telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan MPT BERSATU tidak hilang korum dan saya sendiri telah menjelaskan perkara ini dari segi Perlembagaan BERSATU.

“Peguam BERSATU juga telah memberikan pandangan bahawa MPT BERSATU tidak hilang korum. Ia bukan isu,” katanya.

Pada hari yang sama, Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menulis surat kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN memaklumkan mesyuarat rundingan kerusi yang sepatutnya diadakan pada malam hari yang sama ditangguhkan.

Penangguhan mesyuarat tersebut dibuat atas alasan tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU yang mengemukakan surat kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mempertikaikan status semasa parti itu.

Tambah beliau, pada 14 Julai Setiausaha Agung PN menulis surat kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meminta penjelasan mengenai status BERSATU.

“Surat tersebut juga memberikan ultimatum sekiranya tiada penjelasan dibuat dalam tempoh dua hari, BERSATU tidak akan dilibatkan dalam sebarang pembuatan keputusan PN dan penganjuran sebarang aktiviti PN,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, BERSATU telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan kedudukan parti itu dari sudut perlembagaan serta aspek perundangan.

RoS tidak mengambil sebarang tindakan terhadap BERSATU, sekali gus mengesahkan bahawa parti itu kekal sebagai pertubuhan yang sah serta anggota komponen PN yang berdaftar.

Marzuki menegaskan Setiausaha Agung PN tidak mempunyai kuasa mahupun hak untuk mengeluarkan sebarang ultimatum kepada BERSATU, selain menyifatkan tindakan itu sebagai strategi sengaja untuk menyingkirkan parti berkenaan daripada proses rundingan kerusi Bersama BN serta pembahagian kerusi dalam PN.

Pada 15 Julai, timbul laporan mendakwa rundingan agihan kerusi antara BN dan PN-PAS telah pun dimuktamadkan.

“Poster rasmi pengumuman calon PN pada 16 Julai 2026 memaparkan gambar-gambar pemimpin utama PN kecuali Tan Sri Muhyiddin.

“BERSATU tidak dilibatkan dan tidak dimaklumkan tentang sebarang perbincangan untuk memuktamadkan pembahagian kerusi PN,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan, susulan tindakan sengaja pihak tertentu yang didakwa melanggar perlembagaan PN dengan mengetepikan BERSATU dalam proses rundingan kerusi.

Pada 16 Julai, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau mendakwa BERSATU telah secara sukarela memisahkan diri daripada gabungan berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa tindakan BERSATU untuk bertanding menggunakan logo sendiri itu dibuat mendahului keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN, yang dijadualkan berlangsung hari ini bagi memuktamadkan senarai calon untuk PRN Negeri Sembilan.

“Beliau cuba memberikan gambaran bahawa BERSATU dengan sengaja mengabaikan, tidak akan hadir dan tidak akan menghormati keputusan Mesyuarat Khas MT PN,” katanya.

Menurut Marzuki, BERSATU sengaja dipinggirkan dalam rundingan kerusi PN-BN serta tidak dijemput ke Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN bagi memuktamadkan senarai calon.

Dakwaan beliau turut disokong oleh penularan poster rasmi pengumuman calon PN yang dikeluarkan sebelum mesyuarat berlangsung dan tidak memaparkan wajah Presiden BERSATU.

Susulan kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa BERSATU keluar secara sukarela, Marzuki menepis tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.

Beliau menegaskan bahawa penyatuan Melayu tidak seharusnya dicapai melalui muslihat politik dan menyerahkan kepada fakta untuk menilainya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button