Lihat kembali pencapaian PH, Nicole rayu pengundi beri mandat demi kestabilan Negeri Sembilan
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon merayu pengundi Negeri Sembilan agar keluar mengundi pada 1 Ogos ini dan memberikan mandat yang kukuh bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri dapat diteruskan.

Beliau berkata, kestabilan politik merupakan faktor penting yang membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif untuk manfaat rakyat seperti yang dibuktikan sepanjang penggal pentadbiran lalu.

“Kepada mereka yang masih atas pagar, saya rasa sudah tiba masanya untuk mengambil tanggungjawab sebagai pengundi rakyat Malaysia dan melunaskan tanggungjawab demi negeri yang kita cintai.
“Lihat kembali pencapaian kami. Pada penggal pertama, kami berjaya melaksanakan 100 peratus manifesto yang dijanjikan kerana ketika itu kerajaan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Awal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini.
Menurut beliau, rakyat boleh melihat sendiri perbezaan antara pentadbiran yang stabil dengan kerajaan yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran politik.
“Jadi kami memerlukan mandat daripada rakyat supaya dapat terus mentadbir Negeri Sembilan dengan berjaya dan meneruskan kerja-kerja baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Nicole berkata, pelbagai golongan menerima manfaat daripada dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk bayi, pelajar sekolah, mahasiswa, usahawan dan warga emas.
“Daripada bayi, murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, mereka yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, usahawan sehingga warga emas, semuanya mendapat manfaat melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau hadir meninjau proses pengundian awal di IPD Seremban kira-kira jam 8.30 pagi.
Mengulas perjalanan pengundian awal, Nicole menyifatkan proses tersebut berjalan lancar dan teratur dengan kerjasama baik semua pihak terlibat.
“Nampaknya sangat lancar dan profesional. Saya sudah lama berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang, jadi ramai petugas yang saya kenali dan semuanya menjalankan tugas dengan baik,” katanya lagi.
Pusat Pengundian Awal IPD Seremban digunakan secara serentak bagi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Kepayang, Rahang dan Mambau melibatkan pengundi awal terdiri daripada anggota polis serta pasangan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















