
PH janji beri elaun, pengiktirafan kepada ketua adat
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) berjanji akan terus memartabatkan institusi adat di Negeri Sembilan menerusi pemberian pengiktirafan dan elaun kepada ketua-ketua adat sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tawaran tersebut merupakan antara agenda baharu yang dimasukkan dalam manifesto PH bagi menghargai peranan pemimpin adat termasuk Datuk Lembaga dan Datuk Adat.
Menurutnya, cadangan berkenaan dikemukakan oleh golongan terbabit sebelum calon Menteri Besar PH, Datuk Seri Aminuddin Harun, memutuskan untuk menjadikannya sebahagian daripada tawaran kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Datuk Seri Aminuddin Harun memasukkan perkara ini dalam manifesto supaya kedudukan, jawatan dan khidmat bakti mereka selama ini benar-benar diiktiraf oleh kerajaan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Biro Bernama Negeri Sembilan di sini hari ini.
Fahmi berkata, pengiktirafan tersebut penting memandangkan pemimpin adat memainkan peranan besar dalam menjaga sistem kemasyarakatan serta kelangsungan adat perpatih yang menjadi identiti Negeri Sembilan.
Menurutnya, jasa dan sumbangan golongan berkenaan sewajarnya dihargai secara rasmi melalui sokongan serta pengiktirafan kerajaan negeri.
“Peranan mereka sangat penting dalam masyarakat dan sudah tiba masanya sumbangan itu diberikan penghargaan yang sewajarnya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















