Beberapa jalan utama di Seremban ditutup sempena simulasi pasca PRN Negeri Sembilan
SEREMBAN – Beberapa jalan utama di pusat bandar ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat selama dua hari bermula esok bagi Latihan Simulasi Eksesais Pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Yatim Osman, penutupan jalan dari pukul 3 petang hingga 5 petang itu adalah bagi tujuan raptai manakala dari pukul 3 petang hingga 5.30 petang pada hari Jumaat adalah susulan hari simulasi pasca-PRN itu, lapor BERNAMA.
Beliau berkata, antara jalan utama yang terlibat ialah Jalan Yam Tuan, Jalan Dato’ Sheikh Ahmad, Lorong Khalsa dan Jalan Lim Kee Siong.
“Laluan lain ialah persimpangan Jalan Tuanku Hassan/Jalan Yam Tuan (Madura), Jalan Lee Fong Yee/Jalan Yam Tuan, Jalan Lim Kee Siong/Jalan Jawa dan Lorong Khalsa/Lorong Jawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Yatim menambah, pengguna jalan raya disaran menggunakan laluan alternatif antaranya Jalan Dato’ Abdul Malik, Jalan Tunku Hassan, Jalan Tunku Munawir dan Jalan Dato’ Abdul Kadir.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi arahan pegawai dan anggota trafik yang bertugas serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerusi talian 06-6033477 atau 06-6014999.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















