
163 aduan rasuah penyeludupan direkodkan sejak 2021
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan National Anti-Corruption Commission (NACC) Thailand memperkukuh kerjasama strategik bagi membanteras jenayah rasuah rentas sempadan, khususnya yang berkaitan aktiviti penyeludupan di kedua-dua negara.
Komitmen itu dicapai menerusi Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Ke-8 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 10 September lalu, dengan tumpuan diberikan kepada pengukuhan perkongsian risikan yang lebih pantas, proaktif dan berkesan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, NACC merupakan rakan strategik penting dalam usaha membanteras rasuah yang melibatkan penyeludupan barangan bersubsidi, petrol, diesel, rokok, minuman keras serta pemerdagangan migran yang didorong oleh ketirisan penguatkuasaan di kawasan sempadan.
Menurutnya, aktiviti ekonomi yang rancak di sempadan Malaysia-Thailand membuka ruang kepada salah guna kuasa dan pelbagai aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.
“Bagi tempoh 2021 hingga 2026, SPRM menerima sebanyak 163 maklumat berkaitan aduan rasuah melibatkan aktiviti penyeludupan di sempadan kedua-dua negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kertas siasatan dibuka yang membawa kepada 38 tangkapan, 24 pertuduhan di mahkamah dan 16 sabitan kesalahan,” memetik Buletin TV3 online.
Beliau berkata, kerjasama erat antara SPRM dan NACC turut membantu mengesan saksi serta suspek yang melarikan diri ke Malaysia atau Thailand bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha NACC Wilayah 9, Tawichart Nillakan berkata, pertukaran maklumat secara langsung antara kedua-dua agensi membolehkan tindakan lebih cepat diambil berbanding prosedur rasmi Mutual Legal Assistance (MLA) yang lazimnya memerlukan tempoh lebih panjang.
Selain perkongsian risikan dan operasi penguatkuasaan, kedua-dua agensi turut bersetuju memperhebatkan kempen kesedaran antirasuah di pintu masuk sempadan sempena sambutan Hari Antirasuah Sedunia pada 9 Disember setiap tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







