PRN Melaka: Adly persoal PAS terus guna label agama dalam politik
MELAKA – PAS perlu mengambil pengajaran daripada kontroversi Amanat Haji Hadi dan menghentikan pendekatan politik melabel yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Dajjal sepatutnya dinilai berdasarkan hujah dan kandungan perjanjian, bukannya menggunakan label agama.
Menurutnya, sekiranya terdapat perkara dalam CSA yang didakwa bercanggah dengan prinsip bahawa hasil negara adalah hak seluruh rakyat, pihak berkenaan perlu menyatakan secara jelas fasal yang dipertikaikan berserta bukti.
“Perjanjian politik mesti dinilai melalui kandungan dan hujah, bukannya label agama yang melampau.
“Kami bersetuju bahawa hasil negara ialah hak seluruh rakyat dan kebajikan mereka tidak boleh disyaratkan dengan sokongan politik,” katanya dalam sidang media PH Melaka di sini hari ini.
Adly berkata, PAS sepatutnya mengambil iktibar daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong pada 7 April 1981, yang menurut rekod penerbitan Jabatan Mufti Negeri Melaka dikaitkan dengan perpecahan dalam masyarakat Islam.
“Fatwa berkaitan amanat itu diwartakan di Melaka pada 25 Julai 2002, manakala fatwa Larangan Kafir Mengkafir Sesama Umat Islam turut diwartakan pada 26 September 2013.
“Walaupun penggunaan label Dajjal tidak sama dengan tindakan mengkafirkan seseorang, kedua-dua rekod berkenaan wajar menjadi peringatan mengenai batas pertikaian politik dan kepentingan menjaga persaudaraan,” katanya.
PH Melaka turut mempersoalkan sama ada PAS mahu terus mempertahankan pendekatan politik sedemikian, selain meminta parti-parti sekutunya menyatakan pendirian terhadap isu berkenaan.
Kenyataan itu turut menegaskan penggunaan sentimen agama untuk menakutkan rakyat berisiko memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Jangan sampai rakyat bermusuh sesama jiran dan keluarga, sedangkan pemimpin yang mencetuskan pertelingkahan sudah bersalaman mencari gabungan baharu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














