POLITIK

PRN Melaka: Calon Parti Bersama Ayer Keroh perlu jelaskan status kes mahkamah kepada pengundi – Khoo Poay Tiong

MELAKA – Calon Parti Bersama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh perlu tampil memberikan penjelasan kepada pengundi berhubung status terkini kes mahkamah berkaitan dakwaan penyelewengan dokumen palsu yang dihadapinya pada 2023.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan pengundi mengetahui latar belakang dan perkembangan kes berkenaan sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, pengundi mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat berkaitan kes yang pernah dikaitkan dengan calon berkenaan, khususnya kerana ia melibatkan dakwaan pecah amanah ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

“Sebagai calon, saya berpendapat beliau perlu menerangkan kepada pengundi di Ayer Keroh apakah status terkini kes mahkamah tersebut.

“Sebelum pengundi membuat keputusan, mereka mempunyai hak untuk mengetahui perkara sebenar berkaitan kes berkenaan,” katanya ketika mengulas isu berkenaan dalam sidang media Pakatan Harapan (PH) Melaka di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH Melaka, di sini hari ini.

Poay Tiong berkata, kes berkenaan dipercayai berkaitan urusan perolehan ketika calon itu memegang jawatan CEO sebuah anak syarikat kerajaan negeri sehingga membawa kepada pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2023.

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, sekiranya sesuatu kes dibawa ke mahkamah, proses perundangan perlu diberikan ruang untuk menentukan keadilan kepada individu terbabit.

“Prinsipnya, kalau seseorang itu bersalah, dia mesti dihukum dan kalau tidak bersalah, dia mesti dibebaskan.

“Jadi, kita serahkan kepada sistem mahkamah untuk memberikan keadilan,” katanya.

Adly berkata, pemilihan calon Parti Bersama adalah tertakluk kepada mekanisme parti berkenaan, namun mana-mana individu yang berdepan siasatan perlu melalui proses sewajarnya mengikut undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button