POLITIK

PRN Melaka: Dr Farhana mahu bawa perubahan minda, paradigma di Kuala Linggi

KUALA SUNGAI BARU – Calon Parti BERSAMA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Dr Nur Farhana Hamzah mahu membawa perubahan minda dan paradigma kepada masyarakat di kawasan berkenaan sekiranya diberi peluang untuk mewakili mereka.

Beliau berkata, penyertaan Parti BERSAMA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah bagi menawarkan alternatif kepada pengundi, selain membawa idea baharu dalam usaha melihat semula isu serta keperluan masyarakat setempat.

“Apa yang kita mahu bawa ialah perubahan, iaitu perubahan minda dan paradigma kepada masyarakat Kuala Linggi.

“Harapan saya supaya para pengundi di Kuala Linggi dapat membuka fikiran kepada idea-idea baharu yang kita bawakan, bersama-sama meneliti apa yang sebenarnya berlaku di Kuala Linggi dan seterusnya bersama-sama membawa perubahan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon bagi PRN Melaka di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini hari ini.

mukhlis
Farhana (tengah) bakal berdepan persaingan tiga penjuru daripada calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

Beliau berkata, antara perkara yang turut mahu diberi perhatian ialah aspek kesihatan, selaras dengan latar belakang profesionalnya sebagai seorang doktor.

Katanya, bidang kesihatan merupakan antara perkara yang boleh disumbangkan secara langsung kepada masyarakat Kuala Linggi menerusi pengalaman serta kepakaran yang dimilikinya.

“Insya-Allah, inisiatif kesihatan adalah salah satu bread and butter saya. Saya masih seorang doktor yang beramal dan mempunyai lesen kedoktoran. Saya juga doktor kesihatan pekerjaan dan doktor dalam bidang perubatan keluarga.

“Jadi, saya ada tiga bidang kedoktoran yang saya akan bawa dan ia memang akan ditawarkan sebagai komitmen peribadi kepada Kuala Linggi,” katanya.

Dalam pada itu, Farhana berkata, tawaran kepada pengundi bukan hanya tertumpu kepada inisiatif peribadi dalam bidang kesihatan, sebaliknya turut merangkumi agenda serta perubahan yang mahu dibawa oleh Parti BERSAMA.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima sokongan daripada penduduk tempatan dan ibu pejabat parti dalam menghadapi kempen PRN kali ini.

“Alhamdulillah, kita mendapat sokongan yang kuat daripada penduduk tempatan dan juga daripada ibu pejabat sendiri. Jadi, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Farhana bakal berdepan persaingan tiga penjuru iaitu penyandang kerusi DUN Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah daripada Barisan Nasional dan Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah (Pakatan Harapan).

PRN Melaka akan berlangsung pada 14 November, manakala pengundian awal pada 10 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button