Fahmi cadang pengamal media jalani pemeriksaan kesihatan
PETALING JAYA – Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mencadangkan lebih 12,000 pengamal media berakreditasi di seluruh negara supaya menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Majlis Media Malaysia (MMM) dan organisasi media bagi memperincikan kaedah untuk menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses oleh pengamal media.
“Kita mahu menggalakkan semua pengamal media menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemeriksaan Kesihatan untuk Wartawan anjuran Yayasan CVSKL, di sini hari ini.
Beliau menegaskan pengesanan awal adalah penting bagi mencegah komplikasi kesihatan daripada penyakit seperti diabetes dan masalah kardiovaskular.
Fahmi turut berkongsi pengalaman beliau sendiri ketika menerima panggilan cemas daripada seorang wartawan yang dikenalinya yang memerlukan pembedahan jantung segera selepas doktor menemui saluran tersumbat.
Menurutnya, peristiwa itu menekankan peri pentingnya pemeriksaan perubatan secara berkala di sebalik jadual kerja wartawan yang padat.
“Kita perlu meluangkan masa untuk kesihatan sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan perlu mengambil kira pengamal media yang bertugas di luar Lembah Klang, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang mungkin berdepan kekangan dalam mengakses kemudahan perubatan.
Beliau kemudiannya menzahirkan penghargaan kepada Yayasan CVSKL atas kerjasama dengan Majlis Media Malaysia dalam menyokong inisiatif yang dilaksanakan hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








