Lebih 14,700 kandungan lucah dan bahan penderaan seksual kanak-kanak diturunkan – Fahmi
Lebih 14,700 kandungan lucah dan bahan penderaan seksual kanak-kanak diturunkan – Fahmi
KUALA LUMPUR – Sebanyak 14,706 kandungan lucah dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak telah diturunkan daripada platform dalam talian bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 September 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 5,170 laman sesawang berunsur lucah turut disekat oleh pemberi perkhidmatan susulan permohonan MCMC.
“Kerajaan memandang serius ancaman keselamatan dalam talian yang semakin kompleks, terutama risiko yang boleh menjejaskan kanak-kanak, remaja dan golongan rentan.
“Kerajaan sentiasa peka dan memandang serius ancaman keselamatan dalam talian yang semakin kompleks, khususnya risiko terhadap kanak-kanak, remaja dan golongan rentan,” katanya dalam teks jawapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, Khamis.
Menurut Fahmi, usaha menangani kandungan memudaratkan turut diperkukuh melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
“Penguatkuasaan Akta 866 merupakan langkah penting dalam memperkukuh akauntabiliti pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kandungan memudaratkan dalam talian, termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah dan kandungan sumbang.
“Langkah kawal selia itu akan turut diperkukuh menerusi Kod Pengurangan Risiko yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” tambahnya.
Kod berkenaan mewajibkan pemberi perkhidmatan berlesen melaksanakan langkah pengurangan risiko menerusi reka bentuk, pengendalian dan sistem perkhidmatan masing-masing, termasuk berkaitan kandungan yang dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Ini termasuk pelabelan dan penandaan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan AI seperti deepfake, manipulasi imej dan suara,” katanya.
Selain tindakan penguatkuasaan, kerajaan turut memberi penekanan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat bagi memperkukuh pencegahan serta membina persekitaran digital yang lebih selamat.
“Kempen Internet Selamat bukan sahaja tertumpu kepada pelajar dan kanak-kanak malah turut merangkumi program pendidikan dan advokasi kepada ibu bapa, penjaga, guru serta komuniti,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








