BERITA SEMASA

Sistem amaran bencana nasional beroperasi hujung November ini

KUALA LUMPUR – Sistem Amaran Awal (EWS) menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada penghujung November ini bagi membolehkan amaran kecemasan disampaikan dengan lebih pantas kepada penduduk di kawasan terjejas.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan sistem itu sedang dijalankan oleh Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pelengkap kepada sistem amaran sedia ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Teknologi ini membolehkan mesej amaran disalurkan secara pantas dan bersasar kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan berisiko.

“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan MCMC sedang melaksanakan Sistem Amaran Awal menggunakan teknologi CBS bagi membolehkan mesej amaran disampaikan dengan pantas dan bersasar kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks jawapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, Khamis.

Menurutnya, sebanyak RM210 juta telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2026 bagi membangunkan sistem tersebut.

“Tiada peruntukan tambahan diperlukan di bawah Belanjawan 2027 kerana peruntukan sedia ada masih mencukupi untuk menampung keperluan pelaksanaan projek.

“Selepas sahaja sistem itu beroperasi sepenuhnya, ujian amaran di peringkat nasional akan dilaksanakan pada awal Disember ini bagi menilai pelaksanaan dan penyampaian mesej kecemasan kepada orang ramai.

“Pelaksanaan sistem ini diharap dapat memperkukuh penyampaian amaran bencana secara lebih pantas dan bersasar, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi situasi kecemasan,” tambahnya.

Sistem berkenaan dijangka membantu mempertingkat penyampaian maklumat ketika berlakunya kecemasan, khususnya kepada penduduk yang berada di kawasan terjejas dan memerlukan maklumat segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button