BERITA SEMASA

Empat daripada enam pengendali media sosial sudah dilesenkan

KUALA LUMPUR – Empat daripada enam pengendali media sosial yang disasarkan untuk dilesenkan dalam Malaysia sudah menyelesaikan pendaftaran mereka.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan proses pendaftaran bagi pengendali media sosial berkenaan iaitu Bytedance (TikTok), Tencent (WeChat), Meta (Facebook, Instagram dan Whatsapp) dan Telegram berjalan lancar tanpa sebarang isu.

Beliau bagaimanapun berkata, proses pendaftaran untuk platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) dan Google (Youtube) masih belum selesai.

“Pendaftaran X akan mengambil sedikit masa. Saya telah meminta pihak MCMC untuk berbincang dan menguruskan proses tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dengan kerajaan negeri Melaka, di sini hari ini.

Berkenaan Google, Fahmi menyatakan bahawa pihak MCMC sedang melanjutkan sesi libat urus dengan syarikat itu.

“Google menganggap Youtube (yang dikendalikannya) bukan saluran media sosial, tetapi kami melihat elemen dalamnya, seperti Youtube Shorts, menyerupai kandungan media sosial lain (seperti Tiktok).

“Oleh itu, kita akan terus adakan sesi libat urus bagi mencapai kesefahaman dalam bab ini,” katanya lagi.

Fahmi kemudiannya berharap, proses pelesenan ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan platform terlibat akan lebih proaktif dalam memantau serta menurunkan kandungan yang melanggar peraturan.

Langkah itu katanya, selaras dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat demi menjaga kepentingan pengguna media sosial di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button