BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Skim Wajib Tayang lonjak ekonomi pawagam, kerajaan janji penambahbaikan

KUALA LUMPUR – Skim Wajib Tayang yang diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bukan sahaja memastikan lebih banyak karya tempatan mendapat ruang di pawagam malah memberi impak positif kepada ekonomi industri perfileman menerusi kutipan jualan tiket.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, skim tersebut diwujudkan menerusi Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Skim Wajib Tayang) 2005 yang mula berkuat kuasa pada 23 Jun 2005.

“Pada tahun 2023, sebanyak 62 filem tempatan diluluskan tayangan di pawagam dengan jumlah kutipan tiket mencecah RM108 juta.

“Jumlah itu meningkat pada tahun 2024 dengan 62 filem juga ditayangkan, menghasilkan kutipan kasar sebanyak RM122 juta,” katanya ketika menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Bangi di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Fahmi, skim tersebut telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan industri perfileman negara dengan membuka lebih banyak peluang tayangan kepada penerbit tempatan.

Skim Wajib Tayang telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan industri perfileman negara dengan membuka lebih banyak peluang tayangan kepada penerbit tempatan.

Bagaimanapun, beliau mengambil maklum kebimbangan berhubung kemungkinan wujud manipulasi dan ketidakadilan terhadap penerbit filem indie seperti yang dibangkitkan.

“Saya telah meminta FINAS untuk meneliti dan mengenal pasti langkah penambahbaikan agar Skim Wajib Tayang benar-benar berfungsi sebagai platform sokongan yang inklusif dan memberi manfaat kepada semua pihak,” jelasnya.

Fahmi menegaskan, kerajaan komited memastikan skim itu bukan sahaja mengangkat karya tempatan ke layar perak, malah menyeimbangkan kepentingan pawagam, penerbit arus perdana dan penerbit filem indie.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button