PM tekankan tanggungjawab ketua agama terhadap masyarakat – Fahmi Fadzil
PETALING JAYA – Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 merupakan usaha terbaik dalam menekankan tanggungjawab dan peranan ketua agama terhadap masyarakat, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurutnya, perkara berkenaan merupakan mesej utama yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap merasmikan persidangan yang menghimpunkan tokoh agama dan intelektual dari seluruh dunia itu.
“Mesej utama Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya adalah berkait keperluan ketua-ketua agama tampil dan membantu meredakan keadaan apabila masa… kalau di sesetengah negara, kelihatan seperti fahaman ekstremisme keterlaluan dan sehingga timbul ketegangan atau kerosakan dalam masyarakat di negara terbabit.
“Perdana Menteri tidak merujuk mana-mana negara secara khusus tetapi secara umum dan harapannya ialah perbincangan yang dijana dapat menghasilkan resolusi Kuala Lumpur yang akan diumumkan pada penghujung persidangan ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian persidangan itu.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapan yang sama turut mengesahkan bahawa Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama akan menjadi acara tetap di Malaysia.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Persidangan yang dihadiri kira-kira 2,000 tokoh agama serta intelektual dari 57 negara itu akan disusuli Persidangan Majlis Ulama Asia di sebuah hotel di Kuala Lumpur, esok.
Kedua-dua persidangan itu dianjurkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MWL.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








