BERITA SEMASA

PM ke-11: ‘Teruskan berangan’ – Fahmi Fadzil kepada Annuar Musa

PUTRAJAYA – “Belum pilihan raya lagi. Dia boleh hidup dengan angan-angan dia,” demikian respon ringkas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berhubung kenyataan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengenai perdana menteri ke-11.

Terdahulu, Annuar Musa menerusi satu kenyataan di Facebook mmiliknya sebelum ini memberi bayangan akan berlaku pertukaran perdana menteri.

Walau bagaimanapun beliau tidak memberi gambaran akan berlaku pertukaran perdana menteri dalam masa terdekat, namun hantaran itu telah mengundang pelbagai spekulasi.

“Tidaklah mustahil PM 11 bakal menjadi penyatu kepada seluruh orang Melayu, Bumiputera dan umat Islam negara kita di samping memperkukuh Perpaduan Nasional pelbagai kaum yang sejati.

“Selain dari itu PM 11 akan turut berpeluang mengembelingkan tenaga dan pemikiran enam mantan PM yang masih hidup serta berupaya membantu PM 11 memaju dan membangun negara secara lebih berkesan.

“Beliau mampu menamatkan politik dendam dan “witch hunting”,sebaliknya menjadi simbol penyatuan dan perpaduan dengan tumpuan membela rakyat,” tulis Annuar Musa.

Menurut Annuar lagi, pelantikan perdana menteri ke-11 akan memboleh dasar-dasar negara kembali kearah memperkasa prinsip prinsip Rukun Negara serta menyemarak semula roh dan semangat perlembagaan negara, seperti dicita-citakan di awal pembentukan negara bangsa.

“Dari keharmonian yang PM 11 bawa, negara kembali fokus kepada politik matang dan sejahtera, PM 11 bersama enam mantan PM merupakan ‘The Magnificent Seven’ yang dinanti-nantikan oleh rakyat.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Selamat datang perdana menteri Malaysia yang ke-11,” tulis Annuar sambil mengakhiri tulisannya bersama gambar dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button