BERITA SEMASA

Kes penyampai radio ERA FM: Tiada tindakan lanjut, denda RM250,000 memadai – Fahmi

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap tiga penyampai radio yang terlibat dalam kontroversi baru-baru ini.

Fahmi berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), denda RM250,000 yang dikenakan terhadap pengendali Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd sudah memadai.

“MCMC tidak bertindak terburu-buru, tetapi sebaliknya berdasarkan panduan daripada DPP,” katanya sambil menyifatkan kompaun itu juga difikirkan wajar oleh timbalan pendakwa raya (DPP).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Angkasapuri hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan sumbangan kepada sepuluh pengamal media terpilih, selain beramah mesra dengan para pemimpin industri media.

Turut hadir, Ketua Pengarang Malaysia Tribune, Sharaimei Shaik Ahmedullah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para pemimpin industri media pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Angkasapuri.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kompaun tersebut dikenakan terhadap syarikat dan bukannya kepada individu-individu yang terlibat.

“Saya telah berbincang dengan mereka dan mendapati mereka sedang menghadapi tekanan yang amat besar.

“Mereka adalah selebriti yang sentiasa menjadi perhatian umum, namun selepas insiden ini, pelbagai perkara negatif berlaku terhadap mereka.

“Saya nasihatkan mereka supaya bersabar dan memaklumkan bahawa kami tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan lanjut. Mereka sudah cukup melalui dugaan ini,” katanya.

Pada Selasa lalu, dilaporkan bahawa pengendali Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd tidak akan digantung berikutan kontroversi yang melibatkan tiga DJ stesen radio itu.

MCMC berkata, pihaknya telah menerima rayuan daripada syarikat tersebut selepas notis niat untuk menggantung diberikan pada 7 Mac.

“Setelah meneliti hujah yang dikemukakan dalam rayuan, kami memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.

“Keputusan ini diambil dengan mempertimbangkan tindakan susulan yang diambil oleh syarikat, permohonan maaf daripada pihak terlibat, serta kesan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” kata MCMC.

Terdahulu, tiga penyampai radio Era FM, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy dikecam orang ramai kerana didakwa meniru tarian Kavadi Hindu yang dianggap suci sambil melaungkan “Vel Vel”.

Astro Audio kemudian mengumumkan bahawa ketiga-tiga penyampai radio tersebut digantung siarannya sehingga diberitahu kelak, sementara siasatan dalaman dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button