2 NADI baharu dibuka di Pending, Pandungan
KUCHING – Penduduk di Pending dan Padungan di sini kini boleh memanfaatkan kemudahan internet yang disediakan untuk aktiviti sosioekonomi dan kehidupan seharian mereka, susulan pembukaan dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang baharu hari ini.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), majlis perasmian NADI Pending dan NADI Padungan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sempena lawatan beliau ke kedua-dua NADI berkenaan.
“Dengan penubuhan dua buah NADI baharu ini, Sarawak kini mempunyai sebanyak 156 pusat NADI yang berperanan penting dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi rakyat sejajar dengan objektif utama NADI sebagai pusat capaian internet kolektif, pemerkasaan komuniti, serta penyebaran maklumat yang tepat dan terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penubuhan NADI merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan pembangunan komuniti.
Jelasnya ia juga selaras dengan komitmen serius kerajaan dalam memperluas pelaksanaan Perkhidmatan Pintar NADI, khususnya melalui inisiatif Program NADI x Keusahawanan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.
“Di bawah teras ini, pelbagai program keusahawanan telah dirangka dan dilaksanakan, termasuklah NADIpreneur, yang menyediakan latihan asas perniagaan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada peserta yang berminat menceburi bidang keusahawanan.
“Antara komponen penting dalam program ini ialah NADI EmpowHER, yang memberi fokus khas kepada pemerkasaan wanita dalam bidang keusahawanan menerusi pendedahan kepada ilmu perniagaan dan latihan kendiri,” katanya.

Sementara itu katanya, setakat 31 Mac lalu, seramai 3,390 wanita telah menyertai latihan keusahawanan di bawah Perkhidmatan Pintar NADI, merangkumi hampir 85 peratus daripada keseluruhan peserta NADIpreneur.
Katanya, NADI x Keusahawanan menyasarkan penglibatan sebanyak 7,000 peserta dalam kalangan komuniti seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus penyertaan disasarkan daripada golongan wanita.
“Latihan ini dilaksanakan secara berperingkat di semua pusat NADI bagi memastikan akses yang menyeluruh kepada komuniti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






