MCMC ambil tindakan berita palsu krisis tenaga, satu kes bakal didakwa
CYBERJAYA – Satu kes penyebaran maklumat palsu berkaitan kenaikan harga bahan api susulan krisis tenaga global akan didakwa di mahkamah, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bersetuju untuk meneruskan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Sepang.
Menurut MCMC, selain satu kes yang akan didakwa, lima kes lain ditawarkan kompaun manakala empat lagi diberikan surat amaran.
“Jabatan Peguam Negara telah memutuskan satu (1) kes untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, lima (5) kes ditawarkan kompaun, dan empat (4) kes diberikan Surat Amaran.
“Susulan itu, MCMC telah mengeluarkan lima (5) tawaran kompaun kepada individu terlibat dengan nilai kompaun sebanyak RM25,000 setiap seorang,” katanya.
Kesemua tindakan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan penyebaran kandungan palsu khususnya berkaitan isu semasa seperti krisis tenaga global boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















