BERITA SEMASA

MCMC siasat kes hina agama Islam di Facebook

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah menerima aduan berhubung kes memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R yang melibatkan penghinaan terhadap agama Islam di platform media sosial Facebook.

MCMC berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform komunikasi yang melanggar undang-undang.

“Selain menjalankan siasatan, MCMC juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedia memberikan bantuan teknikal serta sokongan kepakaran digital bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan, sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berkaitan agama kerana perbuatan sedemikian berpotensi mencetuskan kebencian, menjejaskan perpaduan masyarakat sekali gus menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

“Sehubungan dengan itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan bersifat jelik melampau, penghinaan atau menghasut khususnya yang melibatkan agama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button