Kemudahan NADI Taman Pekan Baru pacu komuniti digital MADANI
SUNGAI PETANI – Penduduk sekitar Taman Pekan Baru kini boleh menikmati akses kepada kemudahan digital dan pelbagai program komuniti melalui pembukaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), inisiatif itu selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memperkasa masyarakat secara inklusif dalam era digital.
“Program itu sebagai bukti komitmen kerajaan untuk membawa perubahan bermakna kepada akar umbi.
“NADI Taman Pekan Baru merupakan salah satu daripada empat pusat baharu yang ditubuhkan di Kedah di bawah inisiatif “1 DUN 1 NADI” menjadikan jumlah keseluruhan NADI di negeri ini sebanyak 81 buah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, majlis perasmian itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, sempena Program Hari Bersama Komuniti (HBK).

Pusat itu mula beroperasi pada 9 Februari lalu.
Sementara itu dalam ucapannya, Johari menekankan bahawa NADI perlu kekal sebagai ruang yang dimiliki bersama rakyat, bersifat relevan dan menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti melalui program seperti keusahawanan digital, literasi ICT dan kesejahteraan kendiri.
Katanya, impak NADI kepada komuniti turut terserlah apabila inisiatif NADI baru-baru ini telah berjaya berjaya meraih WSIS Prizes 2025 di Geneva dalam kategori Capacity Building.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan Malaysia dalam membangunkan komuniti digital adalah tepat, tersusun dan memberi impak sebenar.
Melalui pelaksanaan Perkhidmatan Pintar NADI, masyarakat setempat kini dapat mengakses peluang pembelajaran sepanjang hayat, menyertai inisiatif kerajaan serta menjadikan pusat itu sebagai pemangkin pertumbuhan komuniti digital yang progresif dan inklusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








