Garis panduan kandungan grafik ‘raw’ media dibincang segera
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama pemain industri media bagi merangka garis panduan penyiaran kandungan grafik asli (raw) yang lebih jelas dan beretika.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan aduan orang ramai kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan penyiaran video yang tidak ditapis sepenuhnya, termasuk rakaman papan pemuka (dashcam).
Menurut beliau, kandungan sedemikian berpotensi memberi kesan negatif kepada penonton, khususnya kanak-kanak yang masih belum mempunyai kawalan akses menyeluruh terhadap media sosial.
“Saya akan berhubung dengan Majlis Media Malaysia dan Malaysian Press Institute bagi mengadakan perbincangan segera bersama organisasi media.
“Perbincangan ini penting untuk menentukan garis etika yang seimbang antara keperluan pelaporan dan tahap kesesuaian kandungan grafik yang disiarkan,” katanya di sini hari ini.
Fahmi berkata, industri media perlu melaksanakan kawalan kendiri dalam penyiaran kandungan, namun pada masa sama wajar diberi ruang untuk menentukan standard yang sesuai melalui perbincangan bersama.
“Jika MCMC menerima aduan, tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Ia bukan sahaja melibatkan organisasi media, malah akaun individu yang melanggar garis panduan komuniti juga boleh dikenakan tindakan oleh platform masing-masing,” katanya lagi.
Langkah tersebut dilihat penting dalam memastikan keseimbangan antara kebebasan media dan tanggungjawab sosial, khususnya dalam era penyebaran maklumat digital yang pantas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








